KUANTAN: Mangsa banjir yang terjejas ekoran musibah itu dan belum membuat pengesahan dengan ketua komuniti setempat diminta segera berbuat demikian bagi melayakkan mereka menerima Bantuan Wang Ihsan RM1,000.
Tiada dokumen diperlukan oleh setiap ketua isi rumah sebaliknya hanya perlu bertemu ketua komuniti membuat pengesahan kerana proses pendaftaran telah dipermudah kerajaan.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, gesaan itu dibuat kerana masih ada mangsa khususnya yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) tetapi terjejas banjir belum berbuat demikian.
“Kepada mangsa yang belum daftar, segera daftar. Kerajaan telah mempermudah urusan jadi kita mohon kerjasama semua mangsa banjir terjejas supaya segera membuat pengesahan dengan ketua komuniti setempat.
“Bantuan fasa pertama wang ihsan ini telah pun diberikan. Kita tidak mahu ada mangsa banjir yang tertinggal tetapi mereka layak menerimanya,” katanya ketika ditemui pemberita pada program penyerahan bantuan banjir Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bukit Rangin, di sini hari ini.
Yang hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Sharmila Mohamed Salleh.
Mohd. Shahar berkata, setelah membuat pengesahan, ketua komuniti setempat menyerahkan maklumat ketua isi rumah kepada pejabat daerah yang kemudian diserahkan kepada kerajaan negeri dan akhirnya kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk penyelarasan bantuan.
Beliau dalam pada itu meminta rakyat terutama yang terkesan dengan banjir supaya bersiap siaga menghadapi segala kemungkinan yang bakal berlaku.
“Kita perlu sentiasa bersiap siaga, tentunya kita tidak mahu berlaku gelombang kedua banjir, tapi dalam masa yang sama kita perlu bersedia bagi memastikan perkara tidak diingini berlaku seperti kehilangan nyawa.
“Apa yang penting, kita mesti mempunyai keutamaan dalam apa sahaja tindakan kita dalam tempoh banjir,” katanya. – UTUSAN ONLINE