SEREMBAN: Mangsa yang terjejas banjir dan masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Negeri Sembilan berkurangan kepada 355 orang setakat pukul 12 tengah hari tadi.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan menerusi maklumat yang dikongsikan memaklumkan, sehingga kini terdapat 10 buah PPS yang masih lagi aktif.
“Terdapat seramai 355 orang mangsa daripada 79 buah keluarga masih ditempatkan di 10 buah PPS di empat buah daerah iaitu Seremban, Port Dickson, Rembau dan Jelebu.
“Daerah Jelebu mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu seramai 177 orang dan ditempatkan di dua buah PPS iaitu Dewan D’Sury dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Triang Hilir,” katanya.
Sementara itu, tambah maklumat tersebut, sebanyak lima buah PPS di negeri ini telahpun ditutup sejak kejadian banjir berlaku pada 18 Disember lalu.
“Kesemua PPS berkenaan adalah Surau Kampung Keru Hilir di Tampin; Balai Raya Kampung Linggi, Port Dickson; Dewan Des Dangi, Kuala Pilah; Balai Raya Kampung Juntai, Jelebu dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Machang, di daerah Seremban,” katanya.