DENGKIL: “Ini masuk hari ketiga kami tidur di dalam kereta. Rumah habis dimasuki air, hanya sempat selamatkan diri, dokumen penting dan tiga kucing,” kata penduduk Kampung Sri Tanjung, di sini, Ernie Watini Aznan, 30.
Dia dan suami, Zaiful Ahrul Ahmad Zailan, 35, serta seorang anak, Mohammad Darwish, 9, bersama tiga kucing mereka, menumpang teduh di dalam kereta yang diletakkan di tepi jalan.
Ernie Watini yang juga kakitangan swasta berkata, mereka tidak mahu bermalam di pusat pemindahan sementara (PPS) kerana jumlah mangsa yang ramai di situ di samping kebimbangannya kepada jangkitan Covid-19.
“Jadi kami mengambil keputusan bermalam di dalam kereta. Memang tidak selesa dan anak juga mengadu panas, namun kami sebenarnya bimbang bermalam di PPS selepas terdengar ada kes Covid-19, tidak dapat dipastikan betul atau sebaliknya.
“Untuk makanan, kami akan cari di sekitar kedai makanan di Dengkil dan ada juga pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi sumbangan kepada kami,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ernie Watini berkata, bagi urusan mandi serta menggunakan tandas, mereka akan berjalan ke masjid berdekatan.
“Kami dah tak boleh nak pergi mana-mana kerana kereta pun tidak ada minyak. Jadi terpaksa menunggu di tepi jalan.
“Tadi ada pemandu Grab sumbangkan air mineral. Alhamdulillah, sejak kejadian banjir di Dengkil, memang sukar untuk membeli air mineral sebab banyak yang habis,” katanya.