KUALA TERENGGANU: Bilangan mangsa banjir di negeri ini menurun kepada 158 orang berbanding 268 orang yang direkodkan, petang semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, setakat pukul 12 tengah hari ini, daerah yang terjejas hanya membabitkan Kemaman susulan penutupan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Dungun secara berperingkat bermula hari ini.
Katanya, PPS yang beroperasi kini ialah sebanyak enam buah iaitu Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor, Dewan Sivik Air Putih, Surau Kampung Ban Ho, Masjid Tebak Batu 16, Balai Raya Lubuk Megat dan SK Bukit Mentok.
“Mangsa tertinggi dicatatkan di Dewan Sivik Air Putih dengan seramai 76 orang diikuti Surau Kampung Ban Ho (39 orang).
“Keadaan cuaca semasa bertambah baik dan tiada hujan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.