TELUK INTAN: Jumlah mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Changkat Jong meningkat kepada 86 orang sehingga pukul 4 petang.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Hilir Perak berkata, pertambahan 17 mangsa banjir berbanding pada pukul 2 petang tadi ekoran Kampung Baru Batu 8 turut dinaiki air.
Katanya, mangsa yang terlibat terdiri daripada 21 keluarga membabitkan 20 lelaki, 28 perempuan dan 38 kanak-kanak.
“Tiga buah kampung di kawasan Changkat Jong terlibat banjir iaitu Kampung Batu 8, Lorong Kedah; Kampung Baru Batu 8 dan Kampung Batu 9,” katanya. – UTUSAN ONLINE