TELUK INTAN: Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat kepada 264 orang daripada 73 keluarga di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 242 orang daripada 65 keluarga pada pukul 8 pagi tadi.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Hilir Perak berkata, mangsa banjir yang berada di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib dekat Jalan Changkat Jong kekal 140 orang daripada 35 keluarga.
Katanya, kesemua mereka merupakan penduduk Batu 7, Jalan Changkat Jong; Batu 7 1/2, Lorong Mesra; Kampung Batu 8, Lorong Kedah; Kampung Baru Batu 8; Kampung Batu 9 dan Kampung Batu 10.
“Jumlah mangsa banjir di Dewan Bandaran Teluk Intan meningkat kepada 85 orang daripada 27 keluarga berbanding 63 orang daripada 19 keluarga pada pukul 8 pagi tadi.
“Bagi PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Slim, jumlah mangsa banjir kekal 39 orang daripada 11 keluarga. Tiada penambahan mangsa banjir setakat ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE