SEREMBAN: Jumlah mangsa yang terjejas banjir di Negeri Sembilan kini meningkat seramai 413 orang dan kesemuanya kini ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di lima daerah di negeri ini.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan menerusi maklumat yang dikongsikan pagi ini memaklumkan, kesemua mereka yang terjejas daripada 96 keluarga dengan daerah Port Dickson mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 259 orang.
“Sembilan buah PPS yang dibuka tersebut ialah di Balai Raya Pertamatang Pasir, Sekolah Kebangsaan (SK) Jimah Lama, Balai Raya Kampung Linggi dan Balai Raya Kampung Pengkalan Durian di daerah Port Dickson.
“Turut dibuka PPS di Masjid Kariah Lubok China dan Surau Nerambai di daerah Rembau, Dewan Desa Dangi di Kuala Pilah dan Kampung Juntai di Jelebu selain SK Siliau di daerah ini,” katanya.
APM Negeri Sembilan dalam pada itu memaklumkan, selain kejadian banjir kilat beberapa insiden lain turut berlaku sejak kelmarin yang melibatkan kekuatan anggota penyelamat dan logistik daripada pelbagai agensi.
Ia termasuk kejadian jalan runtuh di Jalan Sendayan-Jimah di Port Dickson, tanah runtuh dan pokok tumbang di Jalan Sungai Gadut, di daerah ini serta di Bukit Tangga, Jelebu.