SEREMBAN: Jumlah mangsa yang terjejas banjir di Negeri Sembilan terus menunjukkan penurunan apabila seramai 260 orang masih ditempatkan di tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih dibuka, setakat pukul 5 petang tadi.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan menerusi maklumat yang dikongsikan memaklumkan, kesemua mangsa yang terlibat terdiri dari 56 buah keluarga.
“Di Jelebu, seramai 106 orang mangsa ditempatkan di PPS Dewan D’Sury manakala 74 orang yang lain berlindung di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Triang Hilir.
“Seramai 80 orang lagi mangsa pula masih ditempatkan di PPS Balai Raya Permatang Pasir,” katanya.
Sementara itu, tambah maklumat tersebut, sejak kejadian banjir berlaku pada 18 Disember yang lalu sehingga ke hari ini, seramai 608 mangsa daripada 146 buah keluarga telah mendapatkan perlindungan di 15 buah PPS yang telah dibuka.
“Hanya tinggal tiga PPS yang masih dibuka setakat ini selepas lapan buah PPS telah ditutup hari ini,” katanya.