KLANG: Mangsa banjir di daerah ini kini menghampiri 10,000 orang dan diselamatkan pelbagai agensi penyelamat serta dibawa ke 32 pusat pemindahan sementara (PPS).
Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gong di Kampung Nelayan Telok Gong, di Pelabuhan Klang di sini mencatatkan penghuni PPS paling ramai iaitu 1,293 orang diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru (800) dan 700 di SMK Klang Utama dan SK Sungai Binjai.
Berdasarkan maklumat daripada Pos Kawalan Bomba (PKP) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor di SK Telok Gong, seramai 3,269 mangsa diselamatkan oleh pasukan agensi itu di Klang sahaja.
Malah secara keseluruhan, sebanyak 9,143 mangsa di seluruh Selangor diselamatkan JBPM negeri itu yang merangkumi daerah Klang, Sepang, Kuala Langat, Petaling, Hulu Langat, Kuala Selangor dan Gombak.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan berdasarkan kenyataan Pejabat Menteri Besar Selangor, seramai 6,242 mangsa banjir di seluruh negeri dipindahkan ke PPS setakat pukul 8 pagi tadi di 80 PPS yang dibuka lapan daerah.