PETALING JAYA: Tidak perlu sebarang dokumen sokongan manakala permohonan boleh dibuat secara dalam talian merupakan antara kemudahan untuk peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang terkesan dengan bencana banjir dan mahu memohon penangguhan bayaran balik pinjaman selama tiga bulan.
Menurut kenyataan PTPTN, peminjam terjejas boleh mengemukakan permohonan penangguhan bayaran balik pinjaman yang bermula esok sehingga 31 Mac 2022.
PTPTN memaklumkan, mereka boleh berbuat demikian melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my/PenangguhanBayaranBalikBanjir atau hadir ke mana-mana cawangan berhampiran.
“Tiada sebarang dokumen sokongan diperlukan untuk permohonan penangguhan bayaran balik pinjaman selama tiga bulan kepada peminjam terlibat.
“Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN akibat bencana banjir ini akan diberikan untuk tempoh tiga bulan bermula pada bulan sama kelulusan permohonan diberikan PTPTN dan dua bulan ke hadapan antara Disember 2021 hingga Mei 2022.
“Kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada peminjam melalui e-mel dalam tempoh tiga hari bekerja dari tarikh peminjam mengemukakan permohonan. Peminjam diingatkan agar mengemas kini maklumat perhubungan yang tepat dan terkini bagi memastikan maklumat kelulusan permohonan penangguhan berkenaan dapat disampaikan kepada mereka,” jelas kenyataan itu hari ini.
Pada Jumaat lalu, kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN selama tiga bulan kepada peminjam yang terkesan bencana banjir.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, peminjam yang terkesan boleh mengemukakan permohonan kepada PTPTN bermula 28 Disember hingga 31 Mac 2022.
Dalam pada itu, PTPTN merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi yang bersetuju memberi penangguhan bayaran balik pinjaman itu bagi mereka yang terkesan akibat banjir.
“Pelbagai usaha dilaksanakan PTPTN bagi membantu dan meringankan beban peminjam ketika berdepan bencana ini. Permohonan secara dalam talian bagi penangguhan bayaran balik pinjaman ini ialah antara keprihatinan PTPTN untuk memudahkan urusan peminjam.
“Permohonan dapat dibuat hanya di hujung jari dengan lebih mudah, cepat dan selamat di mana saja mereka berada. Selain itu, peminjam juga diberi pilihan jika ingin membuat permohonan melalui mana-mana kaunter pejabat PTPTN yang berhampiran, mengikut keselesaan mereka,” katanya.
Untuk sebarang pertanyaan, peminjam boleh melayari portal rasmi PTPTN: www.ptptn.gov.my di ruangan Soalan Lazim.
Selain itu, boleh menghubungi PTPTN melalui Careline PTPTN di 03-2193 3000 (beroperasi Isnin hingga Jumaat, jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang); Live Chat di www.ptptn.gov.my; e-Aduan di https://eaduan.ptptn.gov.my/; Eksekutif Pemasaran PTPTN di https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn; dan media sosial rasmi PTPTN.