KUALA TERENGGANU: Hari kedua Terengganu dilanda bah gelombang ketiga menyaksikan jumlah mangsa banjir di negeri ini naik kepada 390 orang.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, setakat pukul 8 pagi ini, kesemua penduduk yang terjejas adalah di pedalaman Dungun dengan pembukaan dua pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan itu.
Katanya, bilangan mangsa tertinggi direkodkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Shukur dengan seramai 225 penduduk daripada 60 keluarga manakala di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja pula sejumlah 163 mangsa.
“Jumlah penduduk yang terlibat banjir bertambah berbanding semalam bagaimanapun tiada PPS baharu dibuka pagi ini.
“Keadaan cuaca semasa masih lagi hujan di beberapa tempat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terengganu dilanda banjir gelombang ketiga bermula semalam susulan kenaikan paras air Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja yang melepasi tahap bahaya.
Bagaimanapun, pemerhatian di laman web Public Infobanjir mendapati, paras air di sungai berkenaan kini menurun ke tahap amaran, setakat pukul 8 pagi ini.
Tiga sungai lain yang berada di tahap sama ialah Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun di samping Sungai Besut di Jambatan Keruak (Besut) dan Sungai Nerus di Kampung Langkap (Setiu).