NORFOLK: Masih banyak kerja rumah yang perlu dilakukan Manchester United biarpun jaringan penalti Cristiano Ronaldo memberikan kemenangan kedua berturut-turut untuk Ralf Rangnick dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Pengendali United, Rangnick berkata, beliau gembira dengan kemenangan 1-0 ke atas Norwich di Narrow Road semalam, namun mengakui bahawa mereka perlu menambah baik dalam setiap bahagian.
“Dari awal kami mengawal permainan tetapi tidak selalunya mempunyai penyelesaian terbaik. Ia satu lagi rekod bersih tetapi masih banyak kerja yang perlu dilakukan.
“Separuh masa kedua saya langsung tidak gembira dengan jumlah sepakan sudut yang kami berikan, biarpun kami mendapat tiga mata.
“Sekarang kami mempunyai dua rekod bersih yang bagus tetapi kami masih perlu memperbaikinya di tempat lawan, terutamanya menentang pasukan fizikal atau pasukan yang menyerang tinggi seperti Norwich.
“Saya nampak mereka tidak bermain seperti pasukan tercorot,” kata Rangnick selepas menyaksikan pasukannya menang menerusi jaringan penalti Ronaldo ketika saingan berbaki 15 minit.
Dalam pada itu, pengendali Norwich City, Dean Smith kagum dengan semangat juang yang ditonjolkan anak-anak buahnya, namun kesal terhadap keputusan pengadil.
“Kami baru sahaja menentang dua daripada enam pasukan teratas, kami mendominasi Tottenham tetapi tidak mengambil peluang. Hari ini kami menentang salah satu pasukan besar dengan penalti yang meragukan,” katanya. – AGENSI