Malbatt 850-8 terima pengiktirafan Unifil - Utusan Malaysia

Malbatt 850-8 terima pengiktirafan Unifil

AFFENDI Buang memeriksa perbarisan di Majlis Perbarisan Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (Pingat PNBB) kepada Malbatt 850-8 di Padang Kawad Pusasda, Port Dickson hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kontinjen Batalion Malaysia (Malbatt) 850-8 menerima pengiktirafan Environmental Compliance (pematuhan alam sekitar) ketika melaksanakan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unifil) di Lubnan.

Pengiktirafan itu sekali gus membuktikan keupayaan dan kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan misi pengaman di peringkat antarabangsa.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pengiktirafan buat julung kalinya itu melibatkan semua kem-kem Malbatt iaitu Kem Marakah, Kem Tibnin, Kem Harris dan Entry Point (EP) 00.

“Anugerah kecemerlangan buat julung kalinya ini merupakan sijil pengiktirafan daripada Markas Unifil sekali gus membuktikan keupayaan serta kemampuan ATM dalam melaksanakan misi pengaman.

“Pelbagai faktor yang dilihat antaranya, sikap keramahan dan mampu dapat tangani secara diplomatik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (Pingat PNBB) kepada Malbatt 850-8 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd. Zain; Panglima Operasi Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Datuk Mohammad Salleh Osman; Panglima Angkatan Bersama, Datuk Yazid Arshad dan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera, Datuk Mohd. Zakaria Yadi.

Malbatt 850-8 diketuai Komander MALBATT 850-8, Kolonel Azudin Hassan melibatkan seramai 854 anggota terdiri daripada 83 pegawai dan 771 anggota-anggota lain pangkat (LLP) termasuk tiga pegawai Fan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Awam Kewangan dari Kementerian Pertahanan.

Aturgerak pergerakan balik keseluruhan kontinjen Malbatt 850-8 telah dilaksanakan dalam empat peringkat bermula pada 1 Oktober hingga 16 November tahun ini dengan menaiki pesawat sewa khas Malaysia Airlines (MAS) dari Beirut, Lubnan ke Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.

Misi seterusnya diambil alih oleh Malbatt 850-9 mulai 13 November lalu.

Sementara itu, Affendi berkata, Malbatt 850-9 juga diiktiraf sebagai batalion terbaik dibawah sektor barat dan juga diiktiraf oleh Komander Unifil sebagai suri teladan (role model) kepada batalion lain.

“Kontinjen ini telah berjaya mengekalkan reputasi baik selaku pasukan pengaman yang disegani masyarakat setempat dan antarabangsa. Sebagai mengiktiraf usaha yang ditunjukkan Malbatt 850-8, ATM juga telah menganugerahkan Anugerah Kecemerlangan Malbatt kepada mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya