PUTRAJAYA: Malaysia menyumbang 559,200 dos vaksin jenis AstraZeneca kepada Bangladesh dan 283,400 dos vaksin jenis AstraZeneca Laos yang bakal diterima kedua-dua negara tersebut pada 6 serta 8 Disember ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, masih terdapat negara-negara yang mencatatkan kadar vaksinasi rendah akibat tidak mendapat kesaksamaan akses kepada bekalan vaksin Covid-19.
“Sehingga hari ini, kadar vaksinasi lengkap bagi populasi Bangladesh adalah 20 peratus manakala kadar vaksinasi lengkap bagi penduduk Laos adalah 42 peratus.
“Mengambil kira pendirian Malaysia pada Mesyuarat Jawatankuasa Rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia ke-72 (WPRCM-72) di Himeiji, Jepun dan penularan varian baharu yang dibimbangi (VOC) Omicron, kerajaan komited memastikan negara yang memerlukan mendapat kesaksamaan akses kepada bekalan vaksin Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, sebelum ini Malaysia pernah menerima sumbangan vaksin dari empat negara iaitu Jepun, Amerika Syarikat, China dan United Kingdom dengan jumlah keseluruhan sumbangan yang diterima adalah sebanyak 2,913,790 dos.
“Sumbangan ini telah membantu meningkatkan kadar liputan vaksinasi di dalam negara dan kini, Malaysia berharap dapat lakukan perkara sama kepada negara-negara yang memerlukan.
“Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan kepada seluruh Keluarga Malaysia bahawa dengan pemberian sumbangan ini, negara masih mempunyai stok bekalan vaksin mencukupi untuk program vaksinasi populasi dewasa, remaja dan pemberian dos penggalak kepada mereka yang layak,” katanya. – UTUSAN ONLINE