PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan peluru berpandu oleh puak pemberontak Syiah Houthi di Yaman ke atas wilayah Jazan di Arab Saudi baru-baru ini.
Insiden tidak dijangka itu mengakibatkan dua orang awam termasuk seorang rakyat Arab Saudi maut di ibu wilayah bersempadan Yaman berkenaan yang juga disebut sebagai Jazan.
“Malaysia justeru menzahirkan perasaan simpati dan takziah kepada mangsa yang terjejas teruk akibat daripada serangan balistik tersebut,” kata kenyataan Wisma Putra di sini hari ini.
Media rasmi negara itu, Saudi Press Agency melaporkan enam penduduk Arab Saudi dan seorang warga Bangladesh turut cedera selain 12 buah kereta dan dua premis kedai di situ hancur musnah.
Jurucakap kumpulan militan Houthi, Yahya Sarea menerusi ciapan dalam akaun sosial Twitter mengesahkan kejayaan mereka melancarkan tiga serangan peluru berpandu ke bandar itu dengan satu lagi serangan turut menyasarkan Najran, ibu kota wilayah Najran yang bersempadan dengan Yaman, namun hanya mengakibatkan kerosakan harta benda ramai penduduk awamnya.
Sejak awal 2018 lalu, puak Houthi yang disokong kerajaan Iran melancarkan sejumlah 430 serangan peluru balistik dan 850 dron pengebom ke atas wilayah Arab Saudi.
Mengulas lanjut, Wisma Putra menegaskan pendirian Malaysia tetap menolak sebarang bentuk keganasan yang boleh mengancam proses kestabilan dan keselamatan rantau Asia Barat.
“Tindakan perseteruan bersenjata yang tidak berkesudahan sebenarnya akan lebih memberi mudarat kepada usaha keamanan dan kesejahteraan semua pihak terlibat. Sehubungan itu, Malaysia akan terus memberi sokongan dalam mencari penyelesaian secara damai terhadap kemelut politik di Yaman yang menyaksikan perang saudara sejak 2014,” katanya.
Konflik permusuhan di negara itu mengakibatkan lebih 377,000 maut termasuk ribuan orang awam dan mencetuskan krisis kemanusiaan dengan tiga juta rakyatnya menjadi pelarian.