PUTRAJAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhasrat menjadikan Maktab Ketahanan Nasional (MKN) sebagai institusi pendidikan elit pertahanan negara menjelang tahun 2024.
Demikian bayangan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang terhadap masa depan maktab tersebut yang sudah memasuki tahun kedua pengambilan pelajarnya.
“Justeru, kita akan memerlukan peserta dari luar negara dan ini memang dalam perancangan ATM yang mungkin bakal dapat dilakukan menjelang 2024 nanti,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kursus dan Penyampaian Diploma Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) Siri 41/2021 yang melibatkan 63 peserta turut dihadiri Komandan MPAT, Laksamana Pertama Mohd. Fadzil Kamal Mohd. Mohaldin.
Mengulas lanjut, Affendi berkata, MKN ditubuhkan pada 2019, adalah antara tiga maktab diletakkan di bawah Puspahanas selain MPAT dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) yang menawarkan kursus tahap tertinggi pengajian strategik dengan kohort pertama graduannya tahun lepas melibatkan pegawai kanan berpangkat brigadier jeneral, kolonel atau setarafnya.
“Ketika ini, MKN masih lagi menggunakan kurikulum sedia ada namun mungkin pengambilan tahun ketiga kelak, kursusnya lebih kepada wacana intelektual dan budaya,” jelasnya yang pada masa ini berpuas hati dengan prasarana disediakan Puspahanas meskipun baru dibuka pada tahun lalu.
Affendi membayangkan, visi menjadikan MKN sebagai pusat elit sebenarnya adalah selari dengan usaha memberi kesedaran tinggi kepada masyarakat awam mengenai isu keselamatan. – UTUSAN ONLINE