PETALING JAYA: Pembangunan industri ternakan ruminan tempatan yang masih agak perlahan memerlukan idea idea baharu bagi memastikan ia terus menyumbang kepada pembangunan subsektor penternakan dan pertanian secara keseluruhannya.
Justeru Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (GTR) sebuah pertubuhan bukan kerajaan mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan semula Majlis Ruminan Negara (MRN) yang bertujuan melihat semula senario industri berkenaan secara keseluruhannya selain memberi input kepada kerajaan.
Pengerusi Koperasi Kelab GTR Nordin Mat berkata, majlis tersebut pernah diwujudkan sebelum ini tetapi tidak ada perkembangan terbaharu mengenainya setakat ini seolah-olah ia tidak lagi wujud.
“ Kelab GTR seringkali mewakili Persatuan Penternak Ruminan Malaysia dalam beberapa jawatankuasa dan mesyuarat yang melibatkan dasar serta perkembangan industri ruminan negara dan kami sentiasa sudi bekerjasama, “ ujarnya kepada Utusan Online.
Selain itu beliau memberitahu, antara aktiviti GTR adalah penganjuran pameran dan ekspo serta menyertai Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) dan Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia ((MAHA) sejak 2014 lagi.
GTR juga katanya, menganjurkan aktiviti amal termasuk membantu penternak ruminan yang dilanda bencana alam seperti banjir.
Kini GTR telah menubuhkan Pasukan Civil Defence Emergency Team (CDERT) bersama pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penubuhan Tabung Bantuan Ruminan Bersama Ikhlas.com.
“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melanda, Kelab GTR sentiasa mengadakan siri kembara di dalam dan luar negara bagi meluaskan pandangan penternak tempatan dan mencari peluang baharu yang berkaitan dengan aktiviti perniagaan dan projek ahli,” ujarnya.
GTR juga sentiasa menganjurkan pelbagai kursus berkaitan keusahawanan ruminan kepada ahli dan para penternak terutamanya program Gegar GTR yang berjaya melahirkan begitu ramai usahawan dalam pelbagai bidang ini.
Dalam pada itu GTR juga menubuhkan koperasi yang berfungsi sebagai cabang perniagaan.
Sebagai contoh, Koperasi GTR pada tahun ini berjaya menguruskan sejumlah 648 ekor lembu korban dan mengedarkan 68,000 kg. daging korban bagi beberapa pihak manakala GTR Meat mewujudkan 60 kedai daging dalam talian menerusi portal www.gtrburger.my yang memberi peluang kepada ahli bagi mempelajari pengurusan kedai daging tanpa memerlukan modal dan pengalaman.
Kelab GTR didaftarkan pada 19 Febuari 2014 dan mempunyai empat Cawangan di Zon Utara, Zon Pantai Timur, Zon Selatan dan Zon Sabah dan Sarawak.
Keahlian kelab kini hampir 10,000 orang terdiri daripada penternak ruminan seperti lembu, kambing, biri biri, rusa, kerbau dan lembu tenusu.
Dalam pada itu Nordin memberitahu, kelab tersebut akan mengadakan Malam Anugerah GTR 2021 pada malam esok di ibu negara yang dijangka dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.
Majlis tersebut diadakan sempena Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi GTR ke-2 dan Mesyuarat Agung Tahunan GTR ke-6.
Majlis pada malam itu juga diadakan bertujuan memberi penghargaan kepada ahli kelab yang menunjukkan pencapaian memberangsangkan berdasarkan beberapa kategori.
Antara anugerah tersebut ialah Anugerah Gerai GTR, Burger Terbaik, Kedai GTR Daging Terbaik dan Aktivis GTR Terbaik.
Anugerah lain termasuk Penternak Muda GTR bagi kategori Ternakan Lembu, Ternakan Tenusu Ternakan Kambing, Ternakan Rusa, Pembaka Kambing, Pembaka Lembu, Ladang Napier , Produk Hiliran, Daging Korban Terbaik dan Produk Hiliran Terbaik
Kategori lain termasuk Produk Hiliran Susu Terbaik, Foto Terbaik, Anugerah Khas Penternak Ruminan Cemrlang dan Anugerah Khas Jihad Penternak dan Anugerah Kepimpinan GTR 2021.-UTUSAN ONLINE