Mahkamah tolak permohonan perbicaraan hibrid 1MDB Najib  - Utusan Malaysia

Mahkamah tolak permohonan perbicaraan hibrid 1MDB Najib 

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan agar perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijalankan secara hidbrid.

Bagaimanapun dalam keputusan ringkasnya, Hakim Collin Lawrence Sequerah menyatakan, beliau tidak menolak kemungkinan akan mengadakan prosiding secara hibrid pada masa hadapan.

“Selepas mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak, saya memutuskan untuk tidak mengadakan prosiding secara hibrid. Tetapi saya tidak menolak kemungkinan mengenainya pada masa hadapan,”katanya.

Mahkamah kemudian menangguhkan perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB itu ke Khamis ini.

Semalam, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memohon agar perbicaraan kes itu diteruskan secara hibrid dengan kehadiran pendakwaan, saksi dan peguam di mahkamah manakala Najib dan Shafee menyertainya secara dalam talian.

Permohonan tersebut bagaimanapun dibantah oleh salah seorang peguam Najib, Datuk Hariharan Tara Singh atas alasan prosiding hibrid hanya sesuai bagi prosiding tidak membabitkan kehadiran saksi dan para peguam hanya hadir serta kelebihan berkomunikasi (privilege communication) tidak akan ada di antara peguam dan anak guam.

Terdahulu, pada awal prosiding, Hariharan memaklumkan status MySejahtera Najib telah bertukar daripada `Individu Dalam Pemerhatian’ kepada ‘Kontak Kasual’.

“Bagaimanapun, disebabkan status MySejahtera beliau masih berwarna kuning, anak guam saya tidak dibenarkan untuk memasuki Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Status tersebut dijangka tamat esok (15 Disember).

“Status MySejahtera Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga ‘Kontak Kasual’ tetapi berbeza dengan Najib, Muhammad Shafee dikenakan kuarantin di rumah,”kata peguam itu.

Menurut Tatacara Operasi Standard (SOP) Pencegahan Wabak Covid-19 Mahkamah Malaysia, hanya individu yang mempunyai status berwarna biru sahaja yang dibenarkan masuk ke bangunan mahkamah manakala lain-lain warna tidak dibenarkan.

Pada 6 Disember lalu, Najib dan Muhammad Shafee telah menjadi kontak kepada anak peguam senior itu, Muhammad Farhan yang telah disahkan positif Covid-19 selepas menghadiri majlis bersama rakan dan keluarga, dua hari sebelum itu. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya