YAN: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) meningkatkan pengeluaran tanaman kontan dalam usaha membantu mengimbangi kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran.
Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, langkah tersebut dilaksanakan melalui dua projek iaitu Projek Tanaman Kontan B40 dan Program Pemerkasaan Ekonomi Golongan B40 Usahawan Agro yang dijalankan bermula tahun ini.
Katanya, projek ini bertujuan menambah pengeluaran tanaman kontan, sayur-sayuran dan rempah ratus dalam usaha meningkatkan pendapatan petani dengan memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan isi rumah di bawah RM4,850 setahun.
“Peningkatan pengeluaran hasil tanaman kontan ini, MADA turut berharap ia mampu mengimbangi kenaikan harga sayur-sayuran hari ini. Saya berharap langkah ini dapat membantu pengeluaran sayuran tempatan dan tidak sepenuhnya bergantung kepada sayuran luar.
“Ini sekali gus juga dapat menampung pendapatan serta membela nasib peladang yang juga merupakan pengguna,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Bakul Makanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin MADA di Permatang Buloh, hari ini. – UTUSAN ONLINE