KULAI: Seramai lima lelaki warganegara Myanmar ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan yang mengakibatkan rakan senegara mereka maut ditikam dalam kejadian kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, pihaknya mendapat maklumat berkenaan perkara itu daripada seorang pengadu yang memaklumkan kejadian pada pukul 9 malam.
Katanya, polis yang ke lokasi kejadian di sebuah asrama pekerja di Taman Scientex, Senai mendapati mangsa berusia 25 tahun sudah tidak bernyawa.
“Pemeriksaan awal terdapat kesan tikaman di bahagian dada dan rusuk mangsa dipercayai akibat ditikam. Turut dijumpai di lokasi adalah sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu. Sehubungan itu, pihak polis menjalankan dua serbuan di Johor Bahru dan Melaka pada pukul 11 pagi, semalam dan menahan lima suspek berusia antara 20 hingga 43 tahun dipercayai terlibat dengan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beng Yeow berkata, berdasarkan siasatan terhadap suspek, kejadian itu dipercayai berlaku disebabkan pergaduhan antara mereka selepas meminum minuman keras sehingga mabuk.
“Kesemua suspek yang ditahan kini dikenakan reman enam hari sehingga 2 Januari ini oleh Mahkamah Majistret Kulai dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE