YAN: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) akan menghantar sebanyak 24,000 kampit beras bernilai RM284,000 untuk disumbangan kepada mangsa banjir di beberapa negeri sejak Jumaat lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Othman berkata, sebanyak empat treler disediakan untuk menghantar bantuan beras tersebut di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Pahang yang terjejas banjir.
Menurutnya, Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah akan berangkat melancarkan konvoi menghantar bantuan tersebut di Stadium Darul Aman pada pukul 2 petang esok.
“Dua daripada empat treler akan membawa beras tersebut ke Selangor, sebuah treler ke Wilayah Persekutuan dan sebuah treler lagi ke Pahang. Kita (Kedah) sebagai negeri pengeluar beras jadi kita beri sumbangan dalam bentuk beras,” katanya selepas Majlis Pelepasan Benih Ikan Puyu Hibrid di Kampung Padang Lumat di sini, hari ini.
Selain itu, konvoi itu turut disertai Klinik Bergerak LZNK yang dilengkapi dengan bekalan ubat-ubatan serta peralatan pemeriksaan kesihatan.
“Klinik Bergerak LZNK itu akan dikendalikan oleh kakitangan perubatan dari Kedah Medical Centre (KMC),” ujarnya. – UTUSAN ONLINE