SHAH ALAM: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan, terdapat tanda-tanda awal luruan Monsun Timur Laut (MTL) dikesan di Sabah dan Sarawak yang boleh menyebabkan hujan lebat berterusan bermula Isnin ini.
Berikutan itu, semua agensi digesa bersiap sedia menghadapi situasi berkenaan yang mungkin boleh menyebabkan bencana banjir khususnya di kawasan Barat Sarawak dan Timur Sabah.
Ketua Pengarah Nadma, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, laporan tersebut diterima daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang berharap persediaan dapat dilakukan oleh agensi keselamatan untuk membuat koordinasi bantuan di kawasan berkenaan.
“Menurut MetMalaysia juga terdapat ramalan ribut petir pada waktu pagi di Pantai Barat Semenanjung, Barat Sarawak dan Timur Sabah.
“Pada lewat petang hingga malam, ribut petir boleh berlaku di Pantai Timur semenanjung dan terdapat tanda-tanda awal berlaku luruan monsun bermula 27 Disember yang akan datang berpotensi menyebabkan hujan berterusan di Barat Sarawak dan Timur Sabah,” katanya.
Beliau berkata dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Operasi Pusat Kawalan Bencana di Taman Sri Muda, Shah Alam, di sini hari ini.
Jelas beliau, penduduk di sekitar kawasan pantai barat Semenanjung diminta membuat persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan kawasan seperti di Selangor yang baru dilanda banjir.
Bagaimanapun, beliau menolak berlaku gelombang kedua banjir di negeri ini dalam masa terdekat.
“Amaran ribut petir, menurut Met Malaysia pada pukul 1 petang tadi iaitu di Pahang iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin; Selangor, Klang dan Kuala Langat; dan Johor, Kota Tinggi akan menerima hujan lebat,” jelasnya.
Berhubung perkembangan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Aminuddin memaklumkan, banjir luar biasa yang berlaku di kawasan perumahan dan perindustrian di sini pulih seperti sedia kala dan kerja-kerja pembersihan boleh bermula hari ini.
“Setakat pada petang ini, di Taman Sri Muda, air telah kering dan aktiviti pembersihan sudah boleh dimulakan yang akan diselaraskan oleh MBSA dan disokong oleh JKM, apa-apa keperluan mereka akan segera bantu.
“Banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk 130 merupakan rakan Nadma menghubungi kita untuk turut sama dalam proses pasca bencana ini dan untuk itu kita minta mereka berdaftar di sini ataupun dengan MBSA untuk koordinasi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE