KEMAMAN: Produk losen daun semambu yang dihasilkan sekumpulan penyelidik Kolej Universiti TATI (TATI UC) di sini, meraih dua pengiktirafan dalam Pameran Antarabangsa Ciptaan, Inovasi dan Teknologi (ITEX) 2021, baru-baru ini.
Pasukan diketuai Dr. Norazlina Hashim bersama enam penyelidik itu mengetepikan 300 penyertaan lain apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Emas Inovasi dan Anugerah Khas Inovasi Terbaik Teknologi Hijau daripada Japan Intellectual Property Association (JIPA) dalam pertandingan itu.
Norazlina berkata, idea untuk menghasilkan losen bagi merawat kulit gatal dan kekeringan itu timbul kerana tanaman berkenaan banyak terdapat di sekitar kampus.
“Secara tradisionalnya, daun semambu mampu mengatasi masalah kulit gatal kerana mempunyai ciri-ciri antimikrobial dan kita mengambil masa hampir setahun untuk menyiapkan produk inovasi itu.
“Penghasilan losen Neem menggunakan bahan-bahan organik dan selain pati minyak daun semambu, ia turut mengandungi minyak kelapa dan lidah buaya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Norazlina, pihaknya bercadang memasarkan losen itu selaras untuk menggalakkan usahawan tempatan beralih kepada bahan semula jadi dalam pembuatan produk kecantikan. – UTUSAN ONLINE