PUTRAJAYA: Pandai bina tapi tak pandai buang.
Itu tindakan tidak bertanggungjawab sebuah syarikat pembinaan yang bertindak melupuskan sisa binaan di lokasi tidak dibenarkan di Jalan Pintasan Segambut, Kuala Lumpur petang semalam.
Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan, Ummi Kalthum Shuib berkata, pihaknya menahan sebuah lori jenis Hino yang dikesan melupuskan sisa pepejal terkawal (sisa binaan) dianggarkan seberat tiga tan metrik.
Beliau berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan pembantu penguat kuasa SWCorp Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Kes disiasat di bawah kesalahan Seksyen 71 (1), Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007, (Akta 672) iaitu larangan terhadap pelonggokan, pengolahan dan pelupusan, sisa pepejal terkawal tanpa kebenaran.
“Jika sabit kesalahan, pelaku boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya menerusi kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE