Long Tiger lolos lokap: KPD, ketua polis balai antara disiasat - Utusan Malaysia

Long Tiger lolos lokap: KPD, ketua polis balai antara disiasat

LONG Tiger diiringi sekumpulan anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak untuk direman selepas dicekup polis di Tangkak, Johor. -UTUSAN/BAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis Johor membuka kertas siasatan tatatertib ke atas seorang Ketua Polis Daerah (KPD), ketua polis balai dan seorang pegawai berpangkat inspektor untuk siasatan melibatkan aspek penyeliaan membabitkan kes Long Tiger meloloskan diri.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kertas siasatan tatatertib itu sedang dilengkapkan sebelum dipanjangkan ke Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman untuk tindakan susulan.

“Di Johor, kita beri tumpuan khusus daripada aspek kebertanggungjawaban dan penyeliaan yang sepatutnya menyelia serta memeriksa lokap sama ada lokap di mahkamah atau lokap Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) atau balai.

“Sebelum ini empat anggota iaitu seorang sarjan dan tiga koperal berusia 33 hingga 57 tahun yang bertanggungjawab di Mahkamah Tangkak telah ditahan kerja bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 223 iaitu penjawat awam yang menyebabkan kecuaian sehingga tahanan lari disiasat,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, seorang pegawai kanan berpangkat Senior Asisten Komisioner (SAC) di negeri itu turut disiasat kerana disyaki terlibat dengan pendedahan maklumat sulit berkaitan kes terbabit.

“Dalam siasatan melibatkan pegawai berpangkat SAC dan seorang lagi koperal yang menyebarkan maklumat, kita juga sudah buka kertas siasatan di bawah Seksyen 203 Kanun Keseksaan kerana mendedahkan maklumat sulit yang memperuntukkan penjara setahun atau denda RM1 juta.

“Ini kerana, dengan pendedahan maklumat-maklumat sulit operasi polis sehingga tular di media sosial ia akan mengganggu operasi dan tindakan susulan kita dalam kes ini atau mana-mana kes sekali pun,” katanya.

Dalam perkembangan sama, seorang pemilik Facebook yang juga bekas anggota polis berasal dari Klang, Selangor turut akan disiasat kerana menyebarkan gambar operasi penangkapan Long Tiger di Kedah, semalam.

Ayob Khan berkata, kertas siasatan terhadap lelaki berusia 47 tahun itu dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Hentikan tindakan menyebarkan, jangan terlalu ghairah mahu menularkan benda yang boleh mengganggu operasi polis, ini akan menjejaskan operasi susulan pihak polis,” katanya.

Sebelum ini akhbar melaporkan, lelaki Rohingya dikenali Long Tiger yang berjaya ditahan semalam didapati menyembunyikan diri di rumah seorang lelaki yang berperwatakan perempuan di Jalan Kuala Ketil, Kedah.

Pada masa sama, tular gambar menunjukkan beberapa anggota polis menahan Long Tiger di sebuah rumah yang hanya berseluar pendek berwarna putih tanpa memakai baju.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya