JOHOR BAHRU: Banduan yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Long Tiger dipercayai dalam perjalanan melarikan diri ke negara jiran sebelum diberkas di Jalan Kuala Ketil berhampiran Sungai Petani di Kedah, 3.15 petang semalam.
Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, sebelum itu dibantu dua lelaki di Batu Pahat, dekat sini yang dipercayai memotong gari yang dipakainya ketika lari dari tahanan selain salah seorang membeli kad sim untuk kegunaan penjenayah itu.
Tangkapan ke atas kedua-dua lelaki berusia 36 dan 38 tahun itu dilakukan antara pukul 7.25 malam hingga 3 pagi tadi susulan siasatan yang dilakukan, selain polis turut merampas sepasang gari dan sebilah pemotong besi yang dipercayai digunakan dalam kes terbabit.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lelaki berketurunan Rohingya itu berjaya diberkas di sebuah rumah yang didiami seorang lelaki berusia 46 tahun yang dikenalinya melalui Facebook sejak tahun lalu.
“Memang dipercayai rancangan Long Tiger adalah untuk melarikan diri keluar dari negara ini sama ada ke Thailand atau Indonesia, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk bagaimana dia menuju ke utara tanah air.
“Oleh sebab itu kita turut menahan suspek bersama tiga lagi individu lain termasuk salah seorang daripada mereka yang memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Semalam, Long Tiger ketika ditahan polis sekali lagi cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung , namun tergelincir jatuh di lantai dapur rumah terbabit sehingga mengalami kecederaan ringan.
Terdahulu, Long Tiger bersama tiga lelaki terbabit dikenakan reman selama empat hari bermula hari ini oleh Majistret Analia Kamaruddin di Mahkamah Majistret Tangkak.
Perintah reman terhadap Long Tiger dikeluarkan bagi siasatan di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan, manakala tiga lagi individu terbabit disiasat di bawah Seksyen 216 kanun sama.
Lelaki itu sebelum ini berjaya meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak, sebelum perbicaraan di bawah Seksyen 388 membabitkannya bermula pada 15 Disember lalu, kira-kira pukul 11.55 pagi.
Sejak kehilangannya, Long Tiger menjadi buruan polis selain peguam mewakilinya, Datuk Sharudin Ali turut menarik diri daripada mewakili lelaki itu.
Dua anggota polis turut digantung tugas bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan kerana disyaki terbabit secara langsung atas kesalahan cuai sehingga menyebabkan tahan itu melarikan diri.