KOTA TINGGI: Lima lagi mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai mangsa bot karam di perairan Tanjung Balau, di sini dijumpai pada hari kedua operasi dan menyelamat pagi tadi.
Jumlah itu menjadikan 16 orang terkorban setakat ini, manakala 20 lagi PATI terbabit masih hilang, sementara 14 orang ditemukan dalam keadaan selamat semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Kapten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, mayat tiga lelaki dan dua wanita itu ditemui berhampiran lokasi kejadian berlaku.
“Mayat pertama ditemui pada pukul 6.45 pagi pada jarak 10 meter dari pangkalan hadapan carilamat (PHC).
“Mayat kedua dijumpai pada pukul 6.52 pagi pada jarak 100 meter dari PHC; manakala mayat ketiga ditemui pada pukul 7.30 pagi pada jarak 2 kilometer (KM) dari PHC. Kesemua mereka adalah lelaki.
“Manakala mayat keempat juga ditemui pada pukul 7.30 pagi pada kedudukan sama dengan mayat ketiga dan mayat kelima pula ditemui pada pukul 7.46 pagi kira-kira 2.5KM dari PHC,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Simon berkata, operasi mencari mangsa masih diteruskan dengan menggerakkan aset pesawat Maritim Malaysia iaitu AW139 yang berada di sektor pencarian pada pukul 8 pagi tadi.
Katanya operasi turut melibatkan bantuan agensi lain bagi mengesan baki PATI yang masih lagi hilang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi semalam, boy gentian kaca yang dinaiki 50 PATI yang berlayar dari Lombok, Indonesia dalam cubaan memasuki negara ini secara haram melalui jalan yang tidak diwartakan.
Bagaimanapun, tragedi berlaku apabila bot dinaiki mereka berdepan cuaca buruk sehingga karam kira-kira 3 kilometer menghampiri Pantai Tanjung Balau.- UTUSAN ONLINE