Lima ladang babi di Melaka positif wabak Demam Babi Afrika

Lima ladang babi di Melaka positif wabak Demam Babi Afrika

ABDUL RAZAK ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan lima ladang ternakan babi di Paya Mengkuang, Alor Gajah dijangkiti wabak Demam Babi Afrika (ASF).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, perkara itu disahkan selepas bedah siasat ke atas bangkai babi dilakukan pada 18 Disember lalu. 

Jelasnya, ujian makmal itu melibatkan sampel organ termasuk tonsil, hati, ginjal, jantung, limpa, nodus limfa dan paru-paru. 

“DVS telah menjalankan siasatan dan sampel-sampel diambil daripada babi mati telah dihantar ke Makmal Veterinar Zon Tengah, Salak Tinggi untuk pengesahan penyakit. Pada 20 Disember lalu, keputusan makmal telah diterima di mana kematian babi tersebut telah disahkan positif penyakit ASF,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ujarnya, setakat ini siasatan telah meliputi pensampelan dari 35 buah ladang dan sehingga semalam keputusan menunjukkan lima buah ladang telah disahkan positif penyakit ASF, manakala lapan lagi masih menunggu keputusan makmal.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara tindakan yang telah dan akan diambil oleh DVS untuk membendung, mengawal serta membasmi penularan penyakit ASF termasuklah memusnahkan semua ternakan terlibat. 

“Bagi ladang yang telah disahkan positif penyakit ASF, tindakan pemusnahan semua ternakan di ladang tersebut akan dijalankan oleh DVS. Bagi ladang-ladang lain, ternakan babi yang sihat dibenarkan untuk disembelih di Rumah Sembelihan Paya Mengkuang setelah pemeriksaan dilakukan,” katanya. 

Tambahnya, daging babi yang disembelih hanya dibenarkan untuk kegunaan negeri Melaka sahaja dan tiada karkas dibenarkan keluar ke negeri lain.

Abdul Razak berkata, notis di bawah Seksyen 18 (2) Akta Binatang 1953 juga telah dikeluarkan kepada semua ladang-ladang babi di Paya Mengkuang, di mana pemindahan ternakan tidak dibenarkan keluar mulai 20 Disember 2021.

“Penyakit ASF bagaimanpun tidak zoonotik (tidak berjangkit kepada manusia), jadi orang ramai tidak perlu panik. Orang awam diminta untuk memasak babi pada suhu tinggi (melebihi 800 darjah celsius) dalam tempoh yang lama (melebihi 20 minit) untuk mematikan virus,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya