Lima keluarga rayu mendapan tanah dibaiki segera - Utusan Malaysia

Lima keluarga rayu mendapan tanah dibaiki segera

AIDI Ahmad Soriani (kiri), Norhalidah Mohammed Khalim (kanan) dan Muhammad Farid Aidi Ahmad (dua dari kanan) menunjukkan mendapan tanah tidak jauh dari rumah mereka akibat banjir serta arus deras di Kampung Sepakat Jaya, Kampung Lombong di Kuala Langat, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Lima keluarga yang tinggal di Kampung Sepakat Jaya di Kampung Lombong di sini, memohon tindakan segera daripada pihak berkuasa untuk memperbaiki mendapan dan hakisan tanah yang dihadapi mereka sejak banjir, minggu lalu.

Mangsa banjir itu mendakwa masih tidak dapat pulang ke rumah masing-masing berikutan terdapat mendapan dan hakisan, diakibatkan oleh benteng lombong pecah ketika hari ketiga banjir pada Isnin, 20 Disember lalu.

Salah seorang penduduk, Muhammad Farid Aidi Ahmad, 29, berkata, pelbagai agensi kerajaan termasuk Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd. Jusni Hashim serta wakil daripada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dab Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah melawat kawasan itu.

Jelasnya, lawatan pada Khamis lalu itu turut dihadiri wakil daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Orang Besar Daerah Kuala Langat, Datuk Mohamed Alhaj Tengku Harun bagi menilai tahap risiko penempatan di sana.

“Selepas lawatan tersebut, mereka terus memaklumkan rumah di sana tidak boleh diduduki sehingga keadaan tanah itu dibaiki, namun sehingga kini belum ada sebarang perkembangan serta tindakan pihak berkuasa dapat dilihat.

“Kami pula sudah menunggu lama sejak banjir minggu lalu dan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sedangkan mangsa lain sudah pulang ke rumah. Cuma kami yang terpaksa menumpang di rumah saudara terdekat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tinjauan di kampung berkenaan minggu lalu mendapati, berlaku mendapan dan hakisan tanah sedalam kira-kira tiga meter dan luas 50 meter akibat runtuhan tanah berikutan arus banjir yang deras.

Jelas, Muhammad Farid, mendapan tersebut terjadi pada Isnin lalu apabila berlaku hakisan tanah dekat bahagian tebing di lombong pasir lama itu yang menjadi tempat takungan air selepas tidak lagi beroperasi.

Dia yang juga mangsa banjir di sana menjelaskan, arus deras menghakis tanah selepas tebing yang memisahkan lombong lama dan baharu tidak jauh dari situ pecah menyebabkan takungan air melimpah masuk ke lombong baharu.

Sementara itu, bapanya, Aidi Ahmad Soriani, 54, yang merupakan penduduk dan pemilik empat buah rumah sewa di situ memberitahu, dia tidak membenarkan keluarga yang menyewa kembali ke rumah mereka kerana bimbang hakisan terus berlaku.

“Air banjir menjunam dari arah Kampung Lombong masuk ke dalam lubang tersebut sebelum mengalir ke dalam lombong dengan arus ketika itu sangat deras.

“Kurang lima meter jarak dari rumah sewa dengan kawasan mendapan, memang saya tak benarkan mereka pulang. Keadaan sangat bahaya kerana pada bila-bila masa runtuhan boleh terus berlaku dan menjejaskan lima rumah yang terletak berdekatan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya