KUALA SELANGOR: Pemberian lesen penjaja sementara bagi golongan berpendapatan rendah di Selangor dilanjutkan sehingga Jun tahun depan.
Tempoh lanjutan selama enam bulan itu diputuskan kerajaan negeri bagi membantu penjaja yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, lesen sementara itu sepatutnya berakhir pada hujung bulan ini.
Katanya, terdapat kira-kira 200,000 penjaja kecil dan sederhana yang terkesan di seluruh negeri ini.
“Jika kita tidak membantu rakyat dan peniaga, ia dikhuatiri akan menyebabkan kesan kepada sosioekonomi.
“Justeru, kerajaan negeri bersetuju melanjutkan tempoh lesen penjaja sementara sehingga Jun 2022,” katanya ketika merasmikan Medan Selera Bestari Jaya di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Rahilah Rahmat.
Tambah Sze Han, musim pandemik mengakibatkan rakyat hilang pekerjaan termasuk yang terpaksa berniaga kecil-kecilan untuk meneruskan kehidupan.
“Kita sememangnya memberi lesen menjaja sementara di kawasan awam.
“Namun, mereka perlu mematuhi syarat ditetapkan terutama tidak mendatangkan kacau ganggu kepada orang awam,” katanya.
Sementara itu, Rahilah berkata, pembinaan Medan Selera Bestari Jaya itu diharap memberi peluang kepada peniaga untuk menjalankan perniagaan dengan lebih selesa dan terjamin.
“Ia sekali gus mengurangkan aduan melibatkan penjaja tepi jalan yang mengganggu lalu lintas.-UTUSAN ONLINE
“MPKS akan memastikan semua perniagaan memenuhi peraturan ditetapkan dan menyelenggara kawasan itu sebaik mungkin,” katanya.