Lepas poster Hadi, DAP naikkan pula wajah Najib, Rosmah - Utusan Malaysia

Lepas poster Hadi, DAP naikkan pula wajah Najib, Rosmah

PIHAK Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menurunkan papan iklan DAP di sekitar Batu Kawa yang didakwa mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan seperti ditetapkan di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Tidak cukup dengan poster Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, jentera DAP menaikkan pula papan iklan wajah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai bahan kempen menjelang lima hari lagi pengundian 18 Disember ini.

Bagaimanapun, papan iklan tersebut diturunkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pukul 2 petang tadi kerana didakwa mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan seperti ditetapkan di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Papan iklan wajah Abdul Hadi diturunkan kelmarin di beberapa kawasan sekitar sini.

Dalam Facebook miliknya, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawa dari DAP, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen berkata, walaupun selepas beberapa percubaan untuk meyakinkan SPR bahawa DAP tidak melanggar peraturan menaikkan wajah musuh politik mereka, penguat kuasa masih berkeras menurunkannya dengan memotong bahan kempen menggunakan gergaji.

“Papan iklan ini hanya menggambarkan bagaimana keputusan mengundi Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu telah membawa perubahan baharu untuk Sarawak dan Malaysia. Kami mencapai kemenangan besar waktu itu yang tidak dijangka, pertama, kerana Najib dan Rosmah yang didakwa rasuah.

“Kedua, pemansuhan cukai jualan dan perkhidmatan (GST) telah meringankan beban rakyat dan ketiga, pengagihan lebih adil kepada sekolah-sekolah Cina, yang pada asasnya mesej kami ialah undi rakyat sangat penting. Namun, ia tidak diterima baik oleh 10 petugas SPR dengan bos mereka.

“Saya berdiri di sebelah menyaksikannya dengan perasaan kecewa. Walaupun kuasa yang ada mungkin ‘memadamkan’ mesej kami dari papan iklan ini, taktik seperti ini tidak akan melenyapkannya daripada fikiran rakyat.

“Melalui kuasa undilah, kita akhirnya telah melihat salah seorang kleptokrat terbesar di dunia disabitkan kesalahan di mahkamah dan pencapaian ini tidak mungkin tanpa ramai rakyat Sarawak keluar mengundi,” katanya hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia memetik calon DUN Kota Sentosa, Michael Kong Feng Nian sebagai berkata, DAP diarahkan SPR menurunkan poster kempen pilihan raya mereka memaparkan suntingan gambar tiga pemimpin politik termasuk dua tersengih yang disifatkan sebagai kontroversi.

Poster itu menunjukkan gambar Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Abdul Hadi dan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian yang telah disunting dengan diiringi kenyataan bahasa Melayu dan Cina berbunyi ‘Tolak Gabungan Pas Sarawak’.

Fen Nian menafikan bahan-bahan kempennya sebagai kontroversi kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Pas bersama-sama di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN)-Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Persekutuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN