TAWAU: Seorang lelaki dikejarkan ke hospital daerah akibat mengalami trauma selepas kediamannya musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Muhibbah Raya semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, mangsa berusia 49 tahun itu difahamkan trauma dan dihantar ke hospital menggunakan kenderaan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) daerah, Julis John Stephan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.12 malam dan sepasukan 18 pegawai dan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian menggunakan tiga jentera bomba.
Semasa tiba di lokasi, didapati sebuah rumah dua tingkat terbakar sepenuhnya dan pihak bomba bertindak memadamkan api menggunakan sumber air pili bomba berhampiran.
Terdapat seorang mangsa yang tidak mengalami kecederaan namun, trauma dengan kejadian yang berlaku dan mangsa dibawa ke hospital menggunakan kenderaan APM untuk rawatan lanjut.
Operasi pemadaman berjaya dikawal pada pukul 8.26 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya 30 minit kemudian.