HULU SELANGOR: Seorang lelaki yang merogol seekor kambing betina sehingga menyebabkan kematian haiwan tersebut dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu dekat sini hari ini.
Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza turut memerintahkan tertuduh, Shaari Hasan, 60, diletakkan bawah pengawasan polis selama setahun selepas selesai hukuman pemenjaraan tersebut.
Pada 25 November lalu, mahkamah sama menolak pengakuan bersalah warga emas tersebut selepas dia tidak mengakui salah satu barang kes.
Namun, pada sebutan kes itu hari ini, tertuduh mengakui barang kes yang ditunjukkan kepadanya dan mahkamah merekodkan pengakuan bersalahnya.
Antara barang kes yang ditunjukkan ialah lokasi kejadian dan kambing yang merupakan mangsa rogol.
Mengikut pertuduhan, Shaari didakwa atas tuduhan melakukan seks luar tabii dengan seekor kambing betina berusia dua tahun kira-kira pukul 1.30 petang, 27 Julai lalu di belakang sebuah rumah, Kampung Sungai Buaya, Rawang di sini.
Pertuduhan terhadap warga emas itu dibuat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.
Terdahulu, ketika mengemukakan rayuan melalui peguam belanya, Muizzudin Schanni Feizal Maurice Feizal memohon hukuman ringan memandang anak guamnya telah menyesal dengan perbuatannya.
“Tertuduh merupakan warga emas dan tinggal sebatang kara. Mohon hukuman penjara juga dikenakan bermula tarikh tangkap,”kata peguam itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Khairun Nisa Noor Harun bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh. Beliau turut memaklumkan, hasil bedah siasatan Jabatan Perkhidmatan Veterinar menunjukkan kambing betina berusia dua tahun itu mati akibat kegagalan paru-paru.
Menurut laporan media sebelum ini, seorang pemilik kambing memeriksa bahagian belakang rumahnya selepas mendengar bunyi pelik daripada kambing peliharaannya.
Ketika itu, pemilik kambing yang juga seorang wanita terlihat seorang lelaki dalam keadaan separuh bogel bangun dari sebelah kambingnya dan melarikan diri.
Wanita itu kemudian memeriksa haiwan peliharaannya dan kambing berwarna putih itu didapati telah mati.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin dalam laporan media tersebut menyatakan suspek telah ditahan di sebuah kawasan semak di Jalan Tengah, Kampung Sungai Buaya, Serendah dekat sini. -UTUSAN ONLINE