PENDANG : Seorang lelaki rentung selepas kereta yang dipandunya terbakar dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Jalan Sungai Jagung, Padang Pusing di sini, petang semalam.
Kemalangan pukul 4.40 petang itu turut melibatkan seramai 11 lagi mangsa. Mangsa yang rentung itu ditemukan berada di tempat duduk pemandu di dalam kereta yang terbakar itu.
Bagaimanapun tular dalam media sosial malam tadi mendakwa mangsa rentung dalam kemalangan itu adalah Tuan Guru Syeikh Yahya Ashaari yang merupakan tenaga pengajar di Kolej Islam Dani Ulum, Pokok Sena dekat sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pendang, Muhammad Ezzat Emran Izani berkata, pihaknya ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan untuk memandam kebakaran dalam kemalangan itu.
“Anggaran peratusan kebakaran adalah 90 peratus dan tindakan memotong bumbung kenderaan dilakukan untuk mengeluarkan mangsa.
“Dua mangsa cedera ringan dibawa ke Klinik Kesihatan Pendang manakala sembilan lagi tidak cedera dan mayat mangsa diserahkan kepada polis,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Arriz Sham Hamezah memberitahu, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta jenis Perodua Axia dipandu mangsa tersebut bertembung dengan kereta Hilux ketika cuba memotong sebuah kereta lain.
“Akibat daripada situasi itu, kereta mangsa terbabas dan berlanggar dengan dua buah kenderaan lain dan terseret lalu terbakar.
“Kebakaran telah dipadamkan pihak bomba manakala mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk pengesahan identiti dan bedah siasat,” katanya.
Dalam pada itu, Arriz berkata, polis tidak dapat mengesahkan mangsa yang ditemukan rentung dalam kereta terlibat adalah Yahya yang merupakan Tuan Guru Syeikh Yahya Ashaari selagi keputusan sid deoksiribonukleik (DNA) mangsa terlibat tidak dikeluarkan. – UTUSAN ONLINE