PETALING JAYA: Seorang lelaki yang memandu kenderaan melawan arus di Bulatan Cheras dekat sini pada Ahad lalu dikenakan hukuman denda RM8,000 serta penjara wajib enam bulan dari tarikh ditahan pada keesokannya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, ini berikutan Mahkamah Trafik Jalan Duta hari ini menjatuhkan hukuman itu selepas pemandu berusia 34 tahun berkenaan mengaku bersalah atas tuduhan memandu secara melulu dan merbahaya.
“Pemandu didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Tertuduh juga tidak dibenarkan mengambil lesen memandu selama lima tahun.
“Kesalahan dinyatakan pada lesen memandu serta dikenakan tindakan saman mengikut Seksyen 26(1) APJ 1987 kerana memandu kenderaan tanpa lesen memandu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan pemandu itu dikesan dan dipanggil memberi keterangan di Balai Polis Trafik Jalan Tun H. S. Lee bagi membantu siasatan.
Ini selepas kejadian kira-kira pukul 8.25 malam itu tular di media sosial apabila video kenderaan melawan arus itu dimuat naik pengguna TikTok dikenali @orangtua95.
Video tular itu antara lain mendakwa pemandu mabuk menjadi punca kenderaan itu melawan arus hingga mengakibatkan kemalangan dan kesesakan lalu lintas.- UTUSAN ONLINE