KOTA KINABALU: Seorang lelaki melecur di bahagian tangan dalam kebakaran yang berlaku di sebuah gerai di Jalan Nabawan-Simpang Rancangan Belia Kilan awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Razlan Aridy berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran gerai pada pukul 2.08 pagi tadi dan sekumpulan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak enam kilometer dari balai.
Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, gerai berkenaan telah terbakar sepenuhnya dan operasi pemadaman dilakukan.
Terdapat seorang mangsa lelaki melecur pada kedua-dua belah tangan dan mangsa terus diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.
Sementara itu, sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila sebuah rumah di Kampung Melugus, Papar musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku pada pukul 1.40 pagi tadi.
Ketua BBP Papar, Roslie Jun berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan sekumpulan lapan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian menggunakan sebuah jentera dan kenderaan logistik.
Kebakaran yang berlaku melibatkan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang musnah sepenuhnya. Tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.-UTUSAN ONLINE