NABAWAN: Seorang lelaki maut apabila kenderaan dinaiki terbabas hingga menyebabkannya tercampak keluar sebelum dihempap kenderaan sendiri di Kampung Malampoi, Nabawan pagi tadi.
Dalam kejadian kia-kira pukul 7.30 pagi itu, mangsa, Putera Azzalie Sulayul, 25, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Razlan Aridy berkata, pusat gerakan operasi (PGO) Sabah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 7.39 pagi dan sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian yang terletak 30 kilometer dari BBP Sook.
“Setibanya di lokasi kejadian, terdapat seorang pemandu terhimpit di bawah kenderaan dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat awal, kenderaan Proton Wira Aeroback dipandu mangsa terbabas hingga menyebabkan mangsa tercampak keluar daripada kenderaan dan dihempap kenderaan sendiri.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi menyelamat tamat pada pukul 8.28 pagi.