Lelaki didakwa cederakan ibu guna keris - Utusan Malaysia

Lelaki didakwa cederakan ibu guna keris

MOHD. Wafiuddin Mazelan (kiri) yang didakwa mencederakan ibunya menggunakan keris, Jumaat lalu diiringi anggota polis ketika berjalan keluar dari Mahkamah Kangar, Perlis, hari ini. - SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencederakan ibunya menggunakan keris, Jumaat lalu.

Tertuduh, Mohd. Wafiuddin Mazelan, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Kamaliza Md. Zain.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki tersebut  dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang wanita, Siti Fatimah Abdullah, 60, di Jalan Teja 5, RPA Arau menggunakan sebilah keris pada pukul 10.15 pagi, Jumaat lalu. Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Suzila Chek Pi dan Nurul Atikah Ab. Rashid manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd. Hakim Hamran dan Nur Iman Nor Azmi. Nur Iman dalam rayuan memberitahu, anak guamnya sebelum ini mempunyai sejarah depresi dan memohon pemeriksaan lanjut ke atas lelaki itu bagi menentukan sama ada tertuduh sihat atau tidak untuk dibicarakan.

Kamaliza kemudian mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi menjalani pemeriksaan kesihatan mental. Mahkamah menetapkan 21 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Jumaat lalu akhbar ini melaporkan, akibat perselisihan faham dipercayai membabitkan masalah keluarga, seorang anak tergamak menikam ibunya sendiri menggunakan keris dalam kejadian di sebuah rumah di Teja 5, RPA, Arau, di sini. Dalam kejadian tersebut, lelaki itu dikatakan menikam ibunya berusia 60 tahun di bahagian belakang rusuk kiri di kawasan hadapan rumah mereka.

Warga emas tersebut mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk rawatan dan disahkan stabil. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya