TASEK GELUGOR: Hampir 200 usahawan kecil serta mereka yang terlibat dengan pelbagai aktiviti sosial serta kemasyarakatan di sini menerima manfaat daripada peruntukan dana berjumlah lebih RM1 juta yang diagihkan oleh pejabat Ahli Parlimen Tasek Gelugor (APTG) sepanjang tahun ini.
Peruntukan itu disalurkan menerusi lima program penyerahan bantuan tanpa mengira latar belakang politik, kaum dan agama.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya berkata, bagi kategori keusahawanan, bantuan difokuskan kepada pengusaha atau pengeluar produk makanan selain pertanian manakala bantuan kemasyarakatan pula melibatkan kelab dan persatuan termasuk pertubuhan agama dan sebagainya.
“Bantuan yang diserahkan termasuk peralatan mengikut keperluan mereka. Contohnya, pengusaha produk sejuk beku mendapat peti sejuk, mereka yang mengusahakan kedai makan menerima bantuan periuk dan ada yang menerima bantuan dalam bentuk cek atau wang tunai.
“Ada juga yang diberikan bantuan peralatan seperti kerusi dan meja dan ada persatuan seperti kariah surau yang menerima bantuan karpet serta sistem audio dan sebagainya,” katanya
Beliau ditemui ditemui pada Program Pemimpin Prihatin Jiwa Murni Parlimen Tasek Gelugor, di sini hari ini.
Seramai 37 penerima mendapat bantuan masing-masing sama ada peralatan atau wang tunai dengan peruntukan berjumlah lebih RM175,000 yang disalurkan untuk program tersebut hari ini.
Sementara itu, seorang penerima, Norazuriani Mohamed Nor, 43, berterima kasih kepada pejabat APTG kerana menyalurkan sumbangan peralatan memasak kepadanya.
“Sudah lebih dua tahun saya menjalankan perniagaan katering dari rumah dan bantuan dalam bentuk peralatan ini memang banyak membantu mengurangkan kos yang saya tanggung selama ini,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Shabudin yang juga Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memberitahu, pihaknya masih memberi kelonggaran kepada mana-mana peminjam yang masih belum mampu membuat pembayaran balik pinjaman AIM buat masa ini.
“Untuk kes-kes tertentu memang kita pertimbangkan sebab AIM pun tidak ada perjanjian kolateral (kontrak) dengan peminjam dalam hal ini,” katanya yang memberitahu, setiap tahun kira-kira RM2.3 bilion diperuntukkan untuk tujuan pemberian pinjaman. – UTUSAN ONLINE