BATU GAJAH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengambil masa lebih 10 jam untuk memadamkan kebakaran dua kilang dan sebuah stor penyimpanan bahan kimia di Kawasan Perindustrian Bemban di sini hari ini.
Ketiga-tiga premis berkenaan dilaporkan musnah sepenuhnya dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 9 pagi.
Bagaimanapun, insiden berkenaan tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Ketua Operasi, Mohamad Fadzeli Che husin berkata, sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 9.19 pagi.
“Setibanya di lokasi, api didapati sedang marak dan anggota segera menjalankan operasi pemadaman.
“Kebakaran dipercayai bermula dari stor penyimpanan bahan kimia sebelum api merebak ke dua kilang lain. Kerja-kerja memadam kebakaran berdepan kesukaran ekoran letupan berlaku dari stor penyimpanan bahan kimia itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, letupan itu membahayakan anggota bertugas hingga menyebabkan mereka terpaksa membuat semburan air pada jarak jauh.
Katanya, kebakaran bagaimanapun berjaya dikawal daripada merebak ke kilang lain pada pukul 1.30 petang.
“Stor penyimpanan bahan kimia itu musnah terbakar keseluruhan manakala dua buah kilang terbakar antara 80 ke 70 peratus.
“Keadaan kini terkawal namun operasi pemadaman masih diteruskan di mana kita menggunakan jengkaut dan forklift untuk proses ‘overhoul’ disebabkan masih terdapat nyalaan bara api di beberapa tempat,” katanya.
Tambah beliau, operasi memadam kebakaran itu dibantu BBP Ipoh, BBP Pasir Puteh, BBP Simpang Pulai, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Menglembu, PBS Pekan Baru, PBS Pasir Pinji, PBS Tanjung Tualang dan PBS Pantai Remis dengan kekuatan 80 orang. – UTUSAN ONLINE