SHAH ALAM: Tidak dinafikan wujud kebimbangan terhadap kes kecurian kenderaan daripada mangsa banjir di seluruh negara berikutan terdapat cubaan dilakukan oleh pemandu lori tunda yang mengambil kesempatan menarik kereta rosak akibat banjir.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, pemilik kenderaan yang ditenggelami banjir dinasihatkan membuat laporan polis sekiranya mahu menggunakan perkhidmatan lori tunda untuk membawanya ke bengkel dikehendaki.
Menurutnya, laporan tersebut bagi memudahkan polis membuat siasatan sekiranya berlaku kes kecurian serta urusan membuat tuntutan insurans.
“Sebagai langkah awal, pemilik kenderaan perlu mengenal pasti lokasi kenderaan yang diletakkan sebelum banjir berlaku dan maklum jika masih ada atau berubah kedudukan jika hanyut akibat arus.
“Jika berasakan hilang akibat kecurian, pemilik perlu memaklumkannya dalam laporan,” katanya dalam sidang akhbar khas di Pos Kawalan Tempat Kejadian di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan seorang pemandu lori tunda direman selama dua hari akibat cuba memperdaya pemilik sebuah kereta model Honda City untuk mencuri kenderaan itu di Seksyen 23, di sini pada Khamis lalu.
Suspek dilaporkan memberitahu menerima menerima arahan daripada seorang lelaki yang juga dikatakan menerima arahan daripada seorang lelaki lain untuk menunda kenderaan milik isterinya.
Dalam pada itu, Abdul Jalil menasihatkan pemilik kenderaan supaya turut mengenal pasti identiti lori tunda termasuk pemandu dan syarikat terlibat sebagai langkah berjaga-jaga.
“Pemilik mesti mengambil maklum terhadap identiti syarikat lori penunda kenderaan sama milik syarikat ataupun pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum kenderaan mereka dibawa ke bengkel untuk dibaiki.
“Ambil gambar kedudukan kereta sebelum ditarik lori penunda, kemudian ambil juga gambar kereta ketika ditarik dan lori penunda yang menampakkan nama dan alamat syarikat. Kemudian kenal pasti juga lokasi untuk simpan kenderaan atau bengkel,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE