Lapan jam duduk atas pokok untuk selamatkan diri - Utusan Malaysia

Lapan jam duduk atas pokok untuk selamatkan diri

M. Fadzly Pardi menunjukkan pokok tempat dia menyelamatkan diri bersama isterinya selama lapan jam dalam kejadian banjir baru-baru ini ketika ditemui di Kampung Puom, Titi, Jelebu semalam. – UTUSAN/AFIFI HAFIZ MOHD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Persediaan awal yang diambil termasuk menyediakan tali keselamatan di pokok telah menyelamatkan 12 sekeluarga di Kampung Puom, Titi di sini dari dibawa arus deras banjir baru-baru ini.

Fadzly Pardi, 54, berkata, ketika kejadian dia bersama 11 ahli keluarga yang lain berada bersama selepas menjangkakan banjir akan berlaku selepas hujan tidak berhenti.

“Beberapa jam sebelum kejadian saya sudah jangka akan banjir kerana kawasan ini pernah banjir sebelum ini dan memandangkan hujan turun berterusan dan agak lama.

“Saya juga sudah memberi taklimat kepada ahli keluarga yang lain untuk langkah-keselamatan selain menyediakan tali keselamatan yang diikat pada pokok,” katanya ketika ditemui dalam Misi Bantuan Desa Bondang Farm di kampung tersebut semalam.

Fadzly yang merupakan bekas jurulatih menyelamat di air menambah, sebaik sahaja air sungai melimpah dan membanjiri kawasan rumah, dia sudah mengatur ahli keluarga untuk duduk di beberapa bahagian tinggi termasuk di atas bumbung rumah.

“Saya terpaksa mengatur awal kerana jika saya mahi selamatkan 11 orang memang agak mustahil. Ahli keluarga sempat naik ke atas bumbung dan saya serta isteri memanjat pokok.

“Lebih kurang pukul 1 pagi air agak deras dan ketika itu saya naik ke atas pokok yang sudah diikat tali sehingga pukul 9 pagi,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Telekung, Mohd. Hussairy Hussain, 24, berkata, dia reda selepas rumahnya habis runtuh dilanda banjir ketika kejadian itu.

“Semasa kejadia saya di luar kawasan, hanya isteri dan emak yang ada di rumah. Mereka ada memaklumkan hujan dan akan banjir namun saya tidak sangka banjir akan seteruk ini.

“Kawasan ini pernah banjir tetapi tidak pernah seteruk ini sehingga rumah saya musnah dibawa air,” katanya yang kini hanya tinggal sehelai sepinggang.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya