DENGKIL: Sekumpulan lapan anak muda dari Kampung Sri Tanjung di sini, menjadi wira tidak didendang apabila turut bersama-sama membantu mengeluarkan penduduk yang terperangkap menggunakan rakit tong air ke tempat selamat.
Biarpun air naik begitu cepat, tiada sifat pentingkan diri dalam kalangan mereka, malah tanpa mengenal erti penat, anak muda tersebut sanggup berulang alik mengambil penduduk untuk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berdekatan.
Menceritakan idea menghasilkan rakit tersebut, Muhammad Azrul Hisyam Mazlan, 26, berkata, dia dan rakan-rakan menghasilkannya menggunakan tong air serta bahan yang dijumpai di sekeliling mereka seperti tali, pintu lama dan kayu serta buluh untuk mendayung.
Katanya, pada asalnya, rakit yang dibina kira-kira sejam itu digunakan untuk kegunaan mereka bagi mengeluarkan motosikal, namun terdapat maklumat masih ada penduduk terperangkap di dalam rumah.
“Lagipun pihak bomba belum tiba memandangkan ada kawasan lain dinaiki air dan kampung kami lambat sikit air naik. Jadi kami berpakat menolong penduduk dengan memberi keutamaan terlebih dahulu kepada orang tua serta kanak-kanak.
“Dalam kejadian pada Sabtu lalu, dianggarkan 100 orang penduduk dapat dikeluarkan dari rumah menggunakan rakit yang boleh memuatkan kira-kira lima atau enam orang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Dia yang juga kakitangan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) berkata, sewaktu mengambil penduduk, enam daripada mereka berenang memegang rakit tersebut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Alhamdulillah sepanjang membawa keluar penduduk yang terperangkap, tiada kejadian tidak diingini. Mereka turut mengucapkan terima kasih dan mendoakan semoga Allah SWT membalas di akhirat.
“Selain itu, pihak bomba yang tiba pada tengah hari turut menggunakan rakit ini untuk membawa keluar penduduk memandangkan mereka tiada bot kerana digunakan bagi menyelamatkan mangsa di kampung lain,” katanya.
Ujarnya, selain penduduk kampung, rakit yang banyak berjasa itu turut digunakan bagi membawa barangan sumbangan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO). – UTUSAN ONLINE