LANGKAWI: Industri pelancongan di pulau peranginan ini mencatatkan pendapatan sebanyak RM487 juta sejak pelaksanaan gelembung pelancongan Langkawi dari 16 September hingga 5 Disember lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, hasil pendapatan itu diperoleh daripada 472,572 pelancong yang berkunjung ke pulau tersebut dalam tempoh tersebut.
“Jika dilihat, aliran kemasukan pelancong ke Langkawi sentiasa meningkat setiap bulan bermula September lepas. Ini menunjukkan Langkawi mempunyai potensi besar untuk menyinar setelah sekian lama sunyi daripada kemeriahan pelancong akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, sebanyak enam pemain industri pelancongan di Langkawi telah meraih anugerah pada majlis Anugerah Malaysia Tourism Council Gold Award 2021 anjuran Majlis Pelancongan Malaysia di Petaling Jaya, malam semalam.
Jelasnya, pada majlis itu, LADA menerima Special Awards On Travel Bubble Initiatives, manakala Best Cable Car in Malaysia diterima oleh Langkawi Skycab (Panorama Langkawi Sdn. Bhd).
“Langsura Geopark Sdn. Bhd. turut menerima anugerah The Best Malay Cuisine And Heritage Restaurant dan The Best Eco Friendly Destination. Seterusnya anugerah Best 3 Star Hotel (Sea View) dirangkul oleh Nadias Hotel Langkawi dan anugerah Best Islamic Compliance diterima oleh Hotel Adya Hotel Langkawi.
Beliau berkata, kejayaan merangkul anugerah-anugerah tersebut membuktikan Langkawi merupakan sebuah pulau pelancongan bertaraf dunia yang menawarkan pengalaman pelancongan yang unik dan mempesonakan.
“LADA juga optimis anugerah ini turut menaikkan nama Langkawi sebagai destinasi pilihan sama ada di peringkat domestik atau antarabangsa,” ujarnya. – UTUSAN