Lagi pemimpin Amanah mohon maaf fitnah ahli akademik - Utusan Malaysia

Lagi pemimpin Amanah mohon maaf fitnah ahli akademik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Melaka, Jamzuri Ardani, menjadi pemimpin keempat parti itu memohon maaf kepada ahli akademik yang juga penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff.

Dalam permohonan maaf yang direkodkan di depan Hakim Mahkamah Sesyen 7, Kuala Lumpur, Lailatul Zuraida Harron @ Haron, hari ini, Jamzuri memohon maaf kepada Kamarul berhubung hantaran Facebook beliau bertarikh 5 April 2020.

Serentak itu, Jamzuri juga menarik balik kenyataan beliau dalam hantaran media sosial itu yang mendakwa Kamarul sebagai seorang yang terlalu naif; seorang yang hanya mampu mengeluarkan kenyataan yang merupakan satu provokasi politik bodoh.

Ini termasuk mendakwa Kamarul bukan ahli akademik yang cerdik, bukan ahli akademik yang berprinsip serta menjadi kuda tunggangan orang politik.

Peguam Kamarul, Mohd. Harris Mohan Abdullah mengesahkan permohonan maaf Jamzuri itu melalui sesi mediasi sebelum bicara penuh dimulakan hari ini.

Beliau berkata, perkembangan itu membolehkan pihaknya memberi fokus kepada kes-kes lebih besar yang sedang dikendalikan, termasuk saman-saman Kamarul terhadap barisan pemimpin politik pembangkang seperti Khalid Samad, Hanipa Maidin, Lim Guan Eng, Hannah Yeoh, Steven Sim dan Datuk Kadir Jasin.

Selain itu, katanya, seorang lagi peguam iaitu Faidhur Rahman Abdul Hadi juga sedang mengendalikan kes-kes saman Kamarul terhadap enam pemimpin besar DAP lain, iaitu Lim Kit Siang, Teresa Kok, Chong Chieng Jen, Lim Lip Eng, Wong Kah Woh dan Dr. Ramasamy.

“Kami menaruh keyakinan tinggi akan memenangi sebahagian besar daripada kes-kes saman ini seterusnya memulihkan balik imej dan kewibawaan Kamarul yang selama ini cuba dicemar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, pada 11 September lalu, Naib Ketua Pemuda Amanah Perak, Mohd. Fitri Asmuni juga memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau dalam hantaran Facebooknya yang mendakwa Kamarul sebagai seorang cybertrooper bertaraf doktor; seorang yang cuba membohongi dan mengelirukan pembaca dengan penulisan beliau; dan seorang penakut yang hanya mampu berselindung di sebalik penulisan beliau seperti di media sosial Facebook.

Selain itu, pada 29 Oktober lalu, Ketua Pemuda Amanah Sungai Besar, Selangor, Ahmad Zhafri Md. Noor, juga memohon maaf kepada Kamarul dan menarik balik kenyataan beliau antaranya mendakwa Kamarul seorang yang sengaja meniup fitnah yang mengapi-apikan sentimen perkauman.

Terbaharu, pada 4 Disember lalu, bekas Naib Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan, Kamal Koh Abdullah juga memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau yang mendakwa Kamarul sebagai seorang yang mendidik rakyat Malaysia menjadi sempit, emosional dan rasis atau asabiyah perkauman.

Turut sama memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau pada 11 November lalu ialah seorang pengguna Facebook, Muhammad Al Hanif Mah Hassan yang antaranya mendakwa Kamarul seorang yang memfitnah penerima bantuan motosikal daripada Steven Sim. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya