PETALING JAYA: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Ahmad Dasuki memohon Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob mendengar rintihan rakyat dan bukannya nasihat daripada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Beliau berkata, ini kerana pengeluaran KWSP i-Citra RM10,000 itu sangat penting berikutan bantuan yang diberikan belum mencukupi.
“Dengarlah rintihan rakyat, usahlah dengar nasihat Tengku Zafrul. Alasan yang diberikan untuk menafikan pengeluaran KWSP sama sahaja dengan alasan waktu kami bersemuka dengan Menteri Kewangan apabila beliau mempertahan pendirian untuk tidak membenarkannya waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lagi.
“Bantuan RM1,000 tidak mencukupi terutama bagi mereka yang mengalami musibah banjir. Apatah lagi jika nak bergantung kepada pendekatan memberikan pinjaman.
“Pemuda UMNO telah cuba sedaya melalui pelbagai cara membawa suara rakyat termasuk bertemu sendiri dengan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Menteri Kewangan bahkan Perdana Menteri sendiri.
“Harap-harap lah ini bukan keputusan akhir Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Dengar lah rintihan rakyat yang mahukan bantuan i-Citra ini, lebih-lebih lagi terlalu ramai yang mahu kembali memulakan kehidupan dan perniagaan akibat terkesan dengan musibah yang melanda,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, media melaporkan, kerajaan ketika ini tidak berhasrat meluluskan pengeluaran tersebut, meskipun ramai yang terjejas dengan banjir.
Ismail Sabri berkata, meskipun ramai mangsa terjejas dengan banjir, namun rakyat berisiko menjadi miskin tegar ketika bersara nanti.
Kata beliau, kerajaan sudah menyediakan pelbagai bantuan dan dana mencukupi untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara serta bersedia menambah peruntukan. – UTUSAN ONLINE