KVG jangka tingkatkan pengeluaran gentian kenaf 40 peratus 

KVG jangka tingkatkan pengeluaran gentian kenaf 40 peratus 

JAZMAN Shahar B. Abdollah (dari kiri) bersama Azman Ahmad, Nurulhisham Yaakob dan Zaliman Sauli semasa majlis menandatangani MoA antara KTG dan Unimap di Industrial Kenaf Integrated Park, Batu Bertangkup, Kangar, Perlis, hari ini. - FOTO/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kenaf Venture Global Sdn. Bhd. (KVG) melalui anak syarikatnya, Kenaf Technologies Global (KTG) menyasar peningkatan pengeluaran gentian kenaf sebanyak 40 peratus selepas memeterai perjanjian usahasama (MoA) dengan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) bagi menghasilkan sistem mempercepatkan proses pengeringan gentian kenaf.

Ketua Pegawai Eksekutif KVG, Jazman Shahar B. Abdollah berkata, usahasama tersebut sekali gus mampu meningkatkan margin keuntungan syarikat kerana mampu memendekkan proses produksi di kilang.

Katanya, waktu yang diperlukan untuk mengeringkan gentian kenaf secara konvensional memakan masa antara dua hingga tiga hari berbanding hanya sehari apabila mengguna mesin yang akan dibina tersebut.

“Apabila kita dapat mengurangkan jumlah hari untuk proses pengeringan ia secara tidak langsung akan menurunkan kos operasi dan dalam masa sama dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran.

“Kami yakin sistem ini adalah selaras dengan usaha syarikat untuk mencapai sasaran keluasan penambahan kenaf sehingga 1,500 hektar di negara ini pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis memeterai MoA antara KTG yang diwakili Pengasas Bersama dan Presiden Kumpulan KVG, Azman Ahmad dan Naib Canselor Unimap, Prof Dr. Zaliman Sauli yang mewakili universiti tersebut di Industrial Kenaf Integrated Park, Batu Bertangkup, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Nurulhisham Yaakob.

Pada majlis tersebut, KVG turut menyampaikan replika cek bernilai RM55,000 kepada Unimap bagi menghasilkan mesin ataupun jentera mengeringkan gentian kenaf bagi kegunaan syarikat tersebut.

Sementara itu, Zaliman berkata, tujuan usahasama tersebut merangkumi program jangka pendek dan jangka panjang.

Menurutnya, pihak Unimap kini dalam proses membuat reka bentuk mesin  dan dijangka dapat disiapkan serta digunakan dalam masa enam bulan akan datang.

“Projek ini akan dijalankan secepat mungkin sebaik sahaja kami menerima geran sebanyak RM55,000 itu daripada pihak KVG,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya