Kuppan dikenang kerana kecintaan mendalam terhadap bola sepak  - Utusan Malaysia

Kuppan dikenang kerana kecintaan mendalam terhadap bola sepak 

ANAK kepada mendiang legenda bola sepak M. Kuppan, Sunther (kanan) memeluk ibunya, Amirthamani di rumah mereka di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: “Setiap kali kami bercakap tentang bola sepak, mata bapa akan terbuka kerana cintanya yang tidak berbelah bahagi terhadap sukan itu,” ujar K Sunther, 58, anak sulung legenda bola sepak negara, mendiang Datuk M. Kuppan.

Katanya, bapanya sentiasa bersemangat apabila bercerita mengenai arena bola sepak tempatan dan minatnya tidak pernah pudar biarpun kesihatannya semakin merosot akibat penyakit osteoarthritis yang dideritainya beberapa tahun lalu.

“Dia (mendiang) seorang bapa yang penyayang dan memiliki personaliti yang sangat positif serta sentiasa disenangi ahli keluarga dan rakan-rakan.

“Bapa tak suka tunjukkan kesakitannya dan setiap kali apabila kami tanya, dia akan kata dia okay.

“Dia juga seorang yang sentiasa ceria dan pemergiannya amat dirasai kami sekeluarga,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Bagan Jermal, di sini hari ini.

Kuppan meninggal dunia di ibu negara pukul 5.30 petang semalam dan mendiang meninggalkan isteri, Datin G. Amirthamani dan tiga anak lelaki termasuk Sunther; K. Siva Prakesh, 55, dan Siva Kumaran, 50.

Sementara itu, bekas pemain bola sepak kebangsaan era 80-an, S. Muraliraj, 50-an, berkata, pemergian mendiang amat meninggalkan kesan terhadapnya.

“Mendiang umpama seorang bapa buat saya dan karismanya umpama Sir Alex Ferguson, dia tahu karakter dan gerak langkah setiap pemain.

“Kali terakhir saya bertemunya minggu lalu sebelum dia ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Mendiang yang terkenal dengan gelaran ‘Jetboots’ atau Harimau Bintang Pulau Pinang pernah mewakili Pulau Pinang selama 10 musim sebelum bersara pada 1967 malah menjulang Piala Malaysia sebagai jurulatih Pulau Pinang pada 1974.

Beliau juga pernah menjulang Piala Malaysia bersama Pulau Pinang pada 1958 dan pernah menyarung jersi negara selama lapan tahun bermula 1958 hingga 1965.

Mendiang turut membawa skuad kebangsaan menjulang Piala Raja Thai sebanyak dua tahun berturut-turut pada 1975 dan 1976 sebelum menjuarai Pestabola Merdeka 1976.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya