Kumpul sampah dalam kawasan rumah pun salah - Utusan Malaysia

Kumpul sampah dalam kawasan rumah pun salah

TANGKAP layar memaparkan keadaan sebuah rumah di Kuala Lumpur yang penuh sampah dan boleh didakwa di mahkamah. – FOTO SWCORP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengingatkan masyarakat tidak mengumpul sampah sarap meskipun dalam kawasan rumah.

Nasihat mesra itu dimuatkan menerusi hantaran dalam laman sosial rasmi SWCorp Wilayah Persekutuan susulan ada penduduk didapati melonggokkan sampah di halaman kediaman.

“Adalah menjadi satu kesalahan meletakkan sampah sebegini, walaupun dalam kawasan pagar di rumah anda,” tegasnya sambil memuat naik beberapa foto eksklusif contoh situasi itu memaparkan keadaan sebuah rumah teres dua tingkat di Kuala Lumpur yang dipenuhi sisa pepejal berkenaan sehingga menutup sebahagian besar pekarangan tempat letak kereta.

Daripada cara longgokan sampah itu, ia jelas menunjukkan pemilik kediaman tersebut cuba mengaburi pihak berkuasa dengan berlakon konon dia ialah pengusaha premis kitar semula.

SWCorp melalui hantaran itu menambah, individu yang sengaja berbuat demikian boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 75(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam dan sekiranya disabitkan kesalahan di mahkamah, si pelaku boleh dihukum denda tidak kurang RM10,000 atau maksimum RM100,000 atau penjara antara enam bulan sehingga lima tahun.

Kes longgokan sisa pepejal terkawal tanpa kebenaran pihak berkuasa tersebut biarpun masih dalam kawasan rumah turut boleh dianggap sebagai kesalahan berkaitan kacau ganggu, justeru, SWCorp meminta masyarakat memartabatkan kebersihan ibu negara tanpa sampah dengan segera melaporkan situasi tersebut jika ditemui kepada talian khas 03-22459292.

Agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu ditubuhkan pada 2008 lalu bagaimanapun terhad bidang kuasanya di enam negeri dan dua Wilayah Persekutuan, sementara baki tujuh negeri lagi dan Wilayah Persekutuan Labuan yang tidak meratifikasi akta berkenaan tidak tertakluk di bawah pemantauan SWCorp dalam isu pengurusan sampah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya