KUALA TERENGGANU: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kelab Diesel 4×4 Terengganu berjaya mengumpul dana sebanyak RM50,000 dalam tempoh tiga hari bagi membantu mangsa banjir di Pahang.
Wakilnya, Hamizan Hasanuddin berkata, kutipan tabung kemanusiaan itu mula dilancarkan pada Khamis lalu dan tidak sangka menerima sambutan yang amat menggalakkan.
Katanya, kelabnya yang terdiri daripada 30 sukarelawan bersama-sama dua NGO lain dijadualkan berada di Mentakab dan Temerloh bagi pengagihan bantuan.
“Misi bantuan banjir ini merupakan aktiviti tradisi Kelab Diesel 4×4 Terengganu sejak 2014 lagi sebagai tanda keprihatinan kita terhadap penduduk yang berdepan kerugian harta benda di samping kehilangan ahli keluarga.
“Barangan yang akan diagihkan kepada mangsa termasuk beras, minyak masak, gula tepung dan susu selain bantuan kewangan,” katanya ketika ditemui di sini.
Hamizan berkata, semoga sumbangan kecil mereka itu dapat meringankan beban penduduk yang dilanda bencana.